Penafian

PENAFIAN PENUH

ADMIN blog drmaba tidak bertanggungjawab terhadap komen (comments) yang diutarakan dalam laman blog ini. Segala komen adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak menggambarkan pendirian admin blog drmaba. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Personal Note:

Artikel yang aku tulis disini pastinya bukanlah suatu yang muktamad dan betul. Maka pertimbangkan dulu bahawa aku ini seorang yang bodoh dan apa yang ditulis adalah sampah semata2.


Oleh itu berikut adalah penyataan kepada semua pembaca budiman:

1. Artikel ini hanyalah perkongsian pandangan peribadi saya berdasarkan pengalaman hidup yg pendek ini dan latarbelakang pendidikan saya, maka saya mohon maaf atas segala kekurangan dan kekhilafan saya.

2. Sekiranya anda fikir bahawa saya ini bodoh (idiot), saya akui kebodohan saya. Semoga Allah yang Maha Luas Ilmu & Maha Bijaksana mengurniakan dan membuka pintu ilmu & kebijaksanaan kepadaku.

3. Sekiranya anda fikir saya salah (wrong), saya akui kesalahan saya. Semoga Allah mengampuni aku dan menunjukkan jalan yang benar.

4. Sekiranya anda ingin membuat pembetulan atau berkongsi pandangan. Saya alu-alukan dan dahulukan dengan Jazakallah.

5. Sekiranya anda ingin hentam (bash) pandangan. Maka saya pinta gunakanlah kata2 yang berhikmah dan beradap. Saya hanya insan yang juga pelupa (diri dsbnya)

6. Sekiranya anda fikir artikel saya ini bidaah. Terlebih dahulu Saya tidak bermaksud begitu. Kupohon keampunan daripada Allah.

7. Sekiranya anda fikir saya bagus & hebat. Saya pinta masukkan saya kedalam doa2 kalian, semoga saya sentiasa dalam rahmatNya. Sesungguhnya aku bukan sesiapa.

Wednesday, June 26, 2013

BERITA: Mencari Kilauan Emas

Source: Phnom Penh Post

RY Kuok berjalan perlahan-lahan sambil menggalas beg berisi batu yang diambil dari dalam lombong yang dikenali sebagai Hutan Emas di Kampung O’Clor di satu kawasan terpencil di Kemboja.

Ry antara ratusan pencari emas di kampung yang terletak di timur laut wilayah Mondulkiri.

Pada hari bertuah, Ry boleh mendapat sehingga RM37.50. Ini satu jumlah yang dianggap agak baik bagi negara dengan satu pertiga penduduknya hidup dengan pendapatan kurang RM3 sehari.

Namun kerja ini bukan saja susah dan berbahaya, ia juga diharamkan. 

Bagaimanapun, oleh kerana puluhan ribu rakyat Kemboja terbabit dalam perlombongan, kerajaan menutup sebelah mata terhadap kerja yang diharamkan ini.

Tetapi keadaan bakal berubah dengan kemasukan syarikat gergasi yang melabur jutaan ringgit untuk membangunkan industri perlombongan emas dan menutup ruang untuk pencari emas haram berkenaan.

“Memang saya sudah jangka kami tidak mungkin boleh berada lama di sini,” kata Ry sambil menapis batu yang dibawanya untuk mencari kilauan emas.

“Kami sudah diberitahu ada syarikat sudah beli kawasan ini dan kami tidak dibenarkan menggali lebih dalam,” kata Ry lagi.

Aktiviti perlombongan yang dijalankan penduduk Kemboja kebanyakannya dilakukan secara manual iaitu menggali dengan tangan.

Kemboja kini dikenal pasti mempunyai sekurang-kurangnya 19 tapak deposit emas yang menarik perhatian syarikat perlombongan dari Australia, China, Korea Selatan dan Vietnam.

Pakar industri menganggarkan perlombongan emas besar-besaran boleh dilakukan dalam masa lima tahun lagi, tetapi jumlah sebenar emas yang ada di tanah Kemboja tidak diketahui.

Penemuan emas ini bagaimanapun dianggap satu perkara yang memberangsangkan dan membuatkan syarikat perlombongan Australia, OZ Minerals mengumumkan penemuan 605,000 auns (17, 151 kilogram) emas di wilayah Mondulkiri tahun lalu, tetapi hasil yang diperoleh dalam projek penggalian seterusnya dikatakan agak mengecewakan.

Bagaimanapun Presiden Kesatuan Syarikat Perlombongan dan Penerokaan Kemboja, Richard Stanger berkata, industri perlombongan boleh menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Kemboja pada masa akan datang.

Untuk sampai ke lombong haram O’Clor yang terletak di Prey Meas, yang bermakna Hutan Emas, pelombong perlu memandu kira-kira lima jam di atas laluan yang mencabar dari pusat bandar, Sen Monorom.

Aktiviti perladangan yang dulunya menjadi mata pencarian penduduk kini dihentikan bagi memberi laluan kepada perlombongan. Kawasan ladang yang dulunya cantik hijau dan berbukit-bukau bertukar wajah kerana kini ia dipenuhi sampah, pondok kayu dan kolam cetek.

Bagi pelombong kecil seperti Ry yang berpindah ke situ bersama keluarganya pada 1981, kawasan yang sesak dan penuh sampah itulah rumahnya. Setidak-tidaknya buat sementara waktu sebelum ia diambil alih sepenuhnya.

Tidak lama dulu kerajaan Kemboja memberi kelulusan kepada syarikat perlombongan China untuk mencari emas di ‘hutan’ berkenaan dan kerja penerokaan sudah bermula di kawasan berhampiran lombong O’Clor.

Menurut pengawal keselamatan yang bekerja di situ, nama syarikat berkenaan ialah Rong Chheng tetapi tidak banyak maklumat mengenai syarikat berkenaan kerana perjanjian konsesi tidak didedahkan kepada penduduk. Pengkritik berkata, ketiadaan ketelusan kerajaan Kemboja dalam sektor perlombongan adalah perkara biasa.

“Masih banyak yang kita tidak tahu bagaimana proses pengagihan hak perlombongan di Kemboja dan bayaran apa yang dilakukan untuk mendapat hak itu,” kata George Boden daripada badan pengawas alam sekitar, Global Witnes.

Harga emas kini mencecah rekod tertinggi di pasaran antarabangsa dan memecah rekod pada harga RM4,500 bagi satu auns (28.35 gram) pada April lalu yang menyebabkan ramai pelabur mencari jalan untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan inflasi yang tinggi.

Kebanyakan pelombong haram di Hutan Emas memperoleh pendapatan yang lumayan setiap bulan dengan menjual habuk emas kepada peniaga tempatan - hasil lonjakan harga emas antarabangsa.

“Kami boleh bertahan kerana harga emas mahal sekarang,” kata Sum Sokhon, 51, dengan nada yang agak kuat bagi melawan bunyi bising daripada mesin penghancur batu. Namun hakikatnya, kehidupan di lombong haram itu agak susah.

“Tempat ini kotor. Kami bimbangkan kesihatan kami kerana ramai orang jatuh sakit tinggal di sini,” katanya.

Bahan kimia berbahaya seperti raksa dan sianida sering digunakan dalam proses pengekstrakan emas di lombong haram dan ini boleh meningkatkan risiko terhadap kesihatan, kata Penasihat Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Kemboja, Glenn Kendall.

Menurut pakar kesihatan, bahan kimia berkenaan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, daripada sakit kepala hinggalah kerosakan sistem saraf.

Lebih membimbangkan, aspek keselamatan tidak dititikberatkan di lombong haram dan keruntuhan terowong di lombong O’Clor sudah mengorbankan banyak nyawa sejak beberapa tahun lalu.

“Pekerjaan di lombong bersaiz kecil sebenarnya sangat berbahaya. Biasanya penduduk terpaksa menjadi pelombong haram kerana kemiskinan.

“Kerajaan bertanggungjawab terhadap nasib pelombong ini dan dengan peraturan yang betul, pelombong kecil boleh bekerja sama dengan syarikat perlombongan profesional,” kata Kendall.

Kong Pisith, ketua daripada Pejabat Industri, Perlombongan dan Tenaga di Mondulkiri berkata, pelombong haram perlu menghentikan aktiviti mereka tidak lama lagi. Mereka boleh memilih untuk menjadi pekerja kepada syarikat perlombongan atau mencari pekerjaan lain.

Namun bagi pencari emas seperti Sum Sokhon, syarikat gergasi yang akan mendapat faedah daripada kerja keras mereka.

“Emas ini penduduk Kemboja yang jumpa, tapi syarikat luar yang dapat,” katanya. - AFP

Sumber: 
Harian Metro
Phnom Penh Post

No comments: